Sunday, January 2, 2011

15 Hikmah Imam Al Ghazali

E-mail Print PDF
Berkata Iman Ghazali (ra) dalam kitabnya, Minhajul A’bidin,

”Kelebihan yang disegerakan Allah Taala terhadap hambaNya apabila melakukan ketaatan kepada-Nya, yang sentiasa berkhidmat kepadaNya, dan menghabiskan usia hidupnya pada jalan ini”

1.Allah Taala sentiasa menyebut dan memuji namanya, dan semulia-mulia hamba itu apabila Tuhan sekalian alam sentiasa menyebut dan memujinya.

2. Tuhan sendiri mengucapkan terimakasih dan meninggikan kedudukannya. Kalau diri diucapkan terima kasih oleh makhluk yang dhaif dan membesar-besarkan dirinya, nescaya diri menjadi mulia kerananya, apalagi Tuhan Yang Awal dan Akhir.

3. Allah Taala sangat mengasihinya dan kiranya manusia dicintai, oleh seorang Penghulu Kampung atau seorang raja dalam sesebuah negeri, sudah tentu dirinya berasa megah dan mendapat manfaat daripadanya. Betapa pula kasih yang diberi oleh Tuhan sekalian alam.

4. Allah Taala sendiri menjadi wakil kepadanya untuk mentadbirkan segala urusannya.

5. Allah Taala memeliharakan rezekinya dan ke mana saja ia pergi, maka di situ terdapat rezeki yang tidak perlu berasa susah payah pun.

6. Allah Taala sendiri menolong dan mengawal dirinya daripada musuh seteru dan menolak apa saja orang yang berniat untuk menyakiti hatinya dan melakukan kejahatan.

7. Allah Taala sendiri yang menjinakkan hatinya hingga tidak berasa keliaran hati terhadap sesuatu perkara yang baru datang, malah ia tidak berasa takut jika berlaku perubahan dan penggantian.

8. Dirinya sentiasa dipermuliakan dan tidak mendapat kehinaan sekalipun membuat kerja-kerja yang hina pada pandangan mata orang ramai. Tetapi ia tidak rela berkhidmat kepada raja-raja di dunia ini dan pembesar-pembesar negeri.

9. Tinggi hemah sekira-kira tidak ingin melumurkan diri dengan kecemaran dunia atau menjadi ahli dunia dan tidak pula ingin berpaling kepada perhiasan dan permainannya seperti permainan budak-budak yang olok-olok belaka.

10. Kaya hati, dan dirasa dirinya sekaya-kaya manusia dalam dunia. Nafsunya sentiasa tenang lega dan riang hati, malah tidak kisahkan kelaparan dan menyusahkan hatinya kalau ketiadaannya

11.Bersinar-sinar cahaya nur hati sehingga dapat memberi petunjuk dengan sinaran itu kepada orang ramai mengenai hal-hal ilmu pengetahuan, rahsia-rahsia, dan hikmah-hikmah yang tidak dapat diberi oleh manusia biasa, kecuali dengan ijtihad yang bersungguh-sungguh dan usia yang berpanjangan.

12. Lapang dada dan tidak berasa susah hati terhadap sesuatu bala yang menimpanya di dunia dan tidak berasa sakit hati dan susah hati atas apa yang diumpat dan diperkatakan oleh manusia.

13. Kelihatan hebat dan menakutkan nafsu dan hati orang ramai hingga terpaksa dihormati oleh kawan dan lawan dan amat ditakuti oleh orang yang sombong dan takbur juga orang yang berkepala batu, sekalipun ia seorang penguasa yang zalim.

14. Dicintai oleh hati manusia, sepertimana firman Allah Taala:
Ertinya, “Tuhan Yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam hati mereka rasa kasih sayang.” (Surah Maryam: 96). Oleh itu, anda lihatlah segala hati bersikap sayang kepadanya, dan semua nafsu bertabiat suka membesar-besarkan dan mempermuliakan dirinya.

15. Allah Taala menganugerahkannya keberkatan yang am, samada pada percakapan, perbuatan, pakaian, tubuh badan, dan sebagainya.

Saturday, January 1, 2011

dinar emas

Sejarah Dinar Emas Dan Dirham Perak

E-mail Print PDF
Sejarah Dinar Emas Dan Dirham Perak
all_dinar  dirham-awal
Terfikirkah anda semenjak zaman Nabi Muhammad SAW lagi, kita tidak pernah mendengar serta mengalami keadaan inflasi. Tetapi pada hari ini ungkapan tersebut seringkali “menjelma“ sambil disulami atau lebih sinonim dengan kelesuan ekonomi sejagat. Kenapa semua ini boleh berlaku? Jawapannya ialah mata wang konvensional yang tersedia ada tidak lagi berlandaskan pada sandaran emas secara mutlak. Justeru marilah kita mengimbas kembali keunggulan serta kegemilangan dinar emas semenjak bermulanya era ketamadunan Islam.
Masyarakat Arab Jahiliyyah pada ketika itu menggunakan dinar emas Heraclius Byzantine yang berasal dari negeri Syam manakala dirham perak Sasaniyah pula dari Iraq. Tatkala itu mereka tidak mempunyai mata wang tersendiri untuk melaksanakan urusniaga perniagaan dalam mahupun luar negara.
Penggunaan kedua-dua mata wang ini adalah bagi memudahkan urusniaga terutamanya pada masa yang melibatkan perdagangan utama di Syam pada musim panas manakala di Yaman pada musim sejuk. Namun demikian, keadaan mulai berubah apabila Nabi Muhammad SAW dipilih sebagai Rasul, dinar dan dirham telah dinaiktarafkan sebagai matawang rasmi urusniaga sektor ekonomi kerana terdapat keseragaman bagi tujuan memudahkan urusniaga.
Ketika ini jugalah reka bentuk berunsur Islam mula digunakan dalam penempaan dinar serta dirham. Pada tahun 18H atau 20H, Saidina Omar RA telah menambah pada dirham Sasaniyah beberapa elemen dengan tulisan khat Kufi seperti Bismillah, Bismillah Rabbi dan Alhamdullillah serta sesetengahnya Muhammad Rasulullah yang ditempa pada keliling gambar Kisra.
Beliau turut menetapkan piawaian bahawa 10 dirham bersamaan 7 dinar dan ini kekal digunapakai sehingga kini. Satu dinar mempunyai 91.6 peratus atau 22 karat seberat 4.25 gram manakala dirham ialah syiling perak seberat 2.975 gram.
dinar_spec3
Dalam rekaan ini ukiran pada permukaan mata wang adalah rekabentuk Islam yang khusus tanpa wujudnya elemen-elemen Byzantine dan Parsi muncul pada tahun 76H hasil cetusan idea Khalifah Abd al-Malik bin Marwan pada zaman Bani Umaiyyah. Senario ini turut dimangkinkan oleh perselisihan faham yang berlaku antara baginda dengan Raja Rom. Pada ketika itu khalifah Abd Al-Malik bin Marwan telah diktiraf oleh Ibn Jarir al-Tabari dan Ibn al-Athir sebagai perintis menempa dinar dan dirham dalam unsur-unsur Islam.
Aplikasi dinar tidak hanya berlegar di bumi Arab tetapi melangkaui kepada ketamadunan Andalusia. Kegiatan perdagangan berkembang pesat selama 700 tahun di Andalusia telah memangkin penggunaan dinar emas serta perak sebagai mata wang utama.
Pada tahun 716 M, umat Islam Andalusia telah mula menempa dinar emas dengan ukiran bahasa Arab serta ditulis “Muhammad Rasulluah” di samping mencatatkan nama Andalusia iaitu tempat tempahan dinar berserta tahun diperbuat. Di belakang dinar emas ini turut diukir dengan tulisan Latin yang bersesuaian dengan kehidupan masyarakat Islam Andalusia pada ketika itu.
Bukti sejarah juga menunjukkan bahawa setelah tamatnya pemerintahan Andalusia, masyarakat semasa pemerintahan Kristian masih meneruskan penggunaan dinar emas selama lebih 400 tahun. Dalam era moden ini, pada tahun 1992 dinar emas pertama Eropah kembali ditempah di Granada, Sepanyol yang sekaligus merupakan sesuatu peristiwa yang sungguh menarik.
Menurut analisa yang dibuat sepanjang kecemerlangannya dinar emas turut mengalami ketidaktentuan terhadap cabaran serta krisis semasa. Pada suatu ketika stok emas tidak mencukupi memandangkan siri peperangan semakin meruncing. Justeru perak dicampurkan tembaga menjadi matawang rasmi dan digunakan di Mesir serta Syam di bawah pentadbiran Bani Ayyub.
Penggunaan dinar serta dirham terus bertahan aplikasinya pada masa keagungan kerajaan Othmaniah Turki (1299M-1924M). Pada hari ini, nama dinar serta dirham masih digunakan sebagai mata wang rasmi di beberapa buah negara di Timur Tengah seperti dinar di Tunisia, Kuwait, Libya, Bahrain, Algeria, Jordan manakala dirham Di Emiriah Arab Bersatu, Qatar dan Maghribi.
Di Malaysia berkat pengalaman kelesuan ekonomi global pada 1997 dinar emas yang diperbuat daripada emas 916 telah mula dikembalikan kegemilangan sebagai medium penyimpan nilai yang tinggi, stabil, sentiasa berpotensi untuk meningkat nilai serta komoditi yang paling selamat.
Dalam konteks yang lebih luas dinar emas turut mampu dijadikan perantaraan urusniaga , gaji dan bonus pekerja, mahar dan hantaran perkahwinan, urusan haji dan umrah, zakat dan serta semua pembayaran perniagaan dalam dan luar negara bagi negara yang berminat.
Hal ini kerana dinar emas mempunyai nilai intrinsik atau tersendiri yang diterimapakai oleh masyarakat dunia. Nilai emas adalah stabil dan meningkat dari semasa ke semasa berbanding mata wang konvesional yang seringkali menjadi mangsa “serang hendap” para penyangak mata wang antarabangsa bagi mengaut keuntungan mudah dan besar. Wallahua'lam